Pages

Followers

Monday, December 30, 2013

Hapuskan Qarun dan hidupkan Ulul Albab



Islam bersifat progresif dan dinamik yang berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai pelengkap indahnya suatu kehidupan. Pelbagai kisah yang disebutkan dalam Al-Quran sangat relevan dijadikan sandaran untuk diteliti dan difahami oleh setiap manusia bagi menghadapi dunia global akhir zaman.

“ Sesungguhnya Qarun adalah ia dari kaum Nabi Musa, kemudian ia berlaku sombong dan zalim terhadap mereka; dan Kami telah mengurniakannya dari berbagai jenis kekayaan yang anak-anak kuncinya menjadi beban yang sungguh berat untuk dipikul oleh sebilangan orang yang kuat sasa. (Ia berlaku sombong) ketika kaumnya berkata kepadanya: "Janganlah engkau bermegah-megah (dengan kekayaanmu), sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang bermegah-megah. (seperti lagakmu itu). “ ( Al-Qasas : 76 )

Allah SWT telah menyebut perihal Qarun di dalam Kitab-Nya untuk menjadi cerminiktibar buat penguasa yang memegang tampuk kerajaan. Qarun merupakan umat di zaman Musa Alaihissalam yang telah dianugerahkan Allah oleh ilmu yang banyak dan kekayaan luar biasa. Malang sekali, beliau gagal untuk mengawal nafsu mengumpul harta malah menindas dan memeras kaumnya sendiri sehingga membiarkan mereka hidup melarat. Beliau mendakwa kekayaannya adalah hasil kemahirannya sendiri, tetapi sebenarnya ia diperolehi secara zalim dengan memeras dan merampas hak bangsanya sendiri.

Realiti kisah ini sedikit sebanyak telah menunjukkan bahawa wujudnya kelahiran Qarun di negara kita, yakni Malaysia. Pemimpin yang dianugerahi pelbagai kuasa dan harta namun bersikap sombong terhadap nikmat yang diberi. Hidup rakyat marhaen pula semakin ditindas berikutan kenaikan harga yang melampau oleh pihak kerajaan. Malah, lebih mengecewakan tatkala rakyat hanya diminta untuk terus redha dan bersabar atas apa yang terjadi.

Para menteri kabinet beranggapan bahawa kenaikan harga merupakan satu usaha untuk mengimbangi masalah ekonomi dan deficit yang melanda. Namun mereka harus sedar bahawa masalah yang terjadi adalah hasil daripada sikap tidak cermat pihak kerajaan dalam menguruskan perbelanjaan negara lantas menyebabkan pembaziran yang tidak munasabah. Laporan audit yang dilaporkan sepanjang pemerintahan kerajaan BN jelas membuktikan bahawa masalah yang timbul adalah berakar dari kecuaian pengurusan kerajaan itu sendiri. Kesannya, kelemahan pihak kerajaan ini telah mengheret rakyat dengan bebanan kenaikan harga dan cukai yang bakal dijalankan tahun depan.

Kos hidup yang semakin tinggi terutama di kawasan Bandar menyebabkan rakyat sudah tidak mampu untuk bertahan malah dilihat seiring dengan meningkatnya kes jenayah. Kes curi,rompak dan bunuh yang berlaku tidak boleh dipandang enteng oleh pihak kerajaan. Boleh jadi, hal ini bersangkut paut akan rakyat yang tidak mampu untuk membeli barang keperluan asas lantas menyebabkan mereka bertindak sedemikian sebagai jalan pintas untuk mengatasi desakan hidup.

Maka, kerajaan sama sekali tidak boleh menyalahkan serta menuding jari kepada jenayah yang sedang berleluasa kerana ia adalah hasil kelemahan kerajaan memberikan cara hidup yang terbaik kepada rakyat. Subsidi dan pemberian BRIM bukanlah satu solusi bijak bagi jangka masa panjang. Kemelut ekonomi dan kenaikan harga ini tetap akan berterusan jika pihak kerajaan sendiri tidak mula membanteras pembaziran dan salah guna wang yang berlaku dalam Kementerian Kabinet serta Badan-badan kerajaan.

5 tuntutan syariat Islam

Kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah adalah jalan keluar terbaik untuk mengatasi segala masalah yang akan terus memberi petunjuk kepada umat manusia untuk mengecapi keadilan yang mutlak. Kepentingan Syariat Islam yang memelihara lima asas hidup iaitu, agama, akal, nyawa, harta dan keturunan adalah solusi percuma yang diberi Allah bagi setiap manusia untuk dihayati serta diaplikasi dari segenap lapisan masyarakat dan bangsa.

“ Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, untuk mengesahkan benarnya Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan sebelumnya dan untuk memelihara serta mengawasinya. Maka jalankanlah hukum di antara mereka (Ahli Kitab) itu dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepadamu), dan janganlah engkau mengikut kehendak hawa nafsu mereka (dengan menyeleweng) dari apa yang telah datang kepadamu dari kebenaran. Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu Syariat dan jalan ugama (yang wajib diikuti oleh masing-masing). “ (Al-Maidah : 48 )

Keberkesanan aplikasi syariat Islam jelas terpampang di depan mata apabila negara jiran, Brunei sudah berjaya mengurangkan kadar kes jenayah berikutan pengumuman bahawa hukuman hudud akan dijalankan, Walhal ketika itu, hukuman hudud belum dikuatkuasakan lagi. Malah, Allah mencampakkan rezekiNya yang tidak terduga dengan penemuan enam lombong minyak di sana. Hal ini jelas ingin memberi klu kepada pihak kerajaan agar tidak berfikir lama untuk mengambil solusi yang jelas tersedia dalam melahirkan Malaysia kea rah yang lebih baik serta sentiasa mendapat pengampunan dari Allah Subhanahu Wa Taala.


Ulul Albab pembunuh Taghut

“ Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya. “ ( Al-Baqarah : 269 )

Ulul Albab merupakan golongan manusia yang telah dipilih Allah dan diberi Ilmu yang selayaknya untuk memakmurkan bumi. Golongan Ulama, akademik, mahasiswa seharusnya menyedari bahawa mereka berperanan menjadi neraca penimbang bagi pemerintah. Ulul Albab perlu menjadi rakyat seperti dalam kisah Qarun yang menegur kesombongan Qarun dalam menguruskan harta.

Isu kenaikan harga serta kesusahan rakyat marhaen yang melanda ini harus menjadi fokus utama para ulul albab. Mereka seharusnya lantang menegur dan memberi solusi kepada para pemerintah supaya tangkas dalam mengatasi masalah rakyat. Para Ulul Albab tidak boleh bersikap membodek atau menjaga periuk nasi andai melihat kekurangan pemerintah yang terang-terangan menindas nasib rakyatnya sendiri. Sikap berdiam diri  ini bisa membuatkan rakyat marhaen bertindak melakukan kerosakan kerana tidak dipandu oleh mereka yang mursyid dalam mengatur kehidupan.

Justeru itu, saya menyeru kepada para Ulul Albab untuk menghapuskan segala bentuk kezaliman yang berlaku dengan menggunakan jalur akademik masing-masing dan bersama-sama merasai kesusahan rakyat marhaen. Kerana ulul albab juga seorang rakyat. Keluarlah dari kelambu kesenangan dan lontarkan segala kebijaksaan untuk menyelesaikan masalah rakyat

Dan saya sebagai mahasiswa melihat Gerakan Turun Kos Sara Hidup – TURUN adalah satu platform yang terbaik untuk menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap apa yang berlaku.
Tiada apa yang perlu ditakutkan kerana kita bersama rakyat untuk kemaslahatan bersama. Moga usaha ini menunjukkan para ulul albab mendekati dan memahami masyarakat dalam mengatasi masalah yang dihadapi.

Selamat tahun baru 2014, jumpa di Dataran   Merdeka.



*kredit to my editor Siti Hazirah Zaini