Islam bersifat progresif dan dinamik yang berpandukan Al-Quran dan
As-Sunnah sebagai pelengkap indahnya suatu kehidupan. Pelbagai kisah yang
disebutkan dalam Al-Quran sangat relevan dijadikan sandaran untuk diteliti dan
difahami oleh setiap manusia bagi menghadapi dunia global akhir zaman.
“ Sesungguhnya Qarun adalah ia dari kaum Nabi Musa, kemudian ia berlaku sombong dan zalim terhadap mereka; dan Kami telah mengurniakannya dari berbagai jenis kekayaan yang anak-anak kuncinya menjadi beban yang sungguh berat untuk dipikul oleh sebilangan orang yang kuat sasa. (Ia berlaku sombong) ketika kaumnya berkata kepadanya: "Janganlah engkau bermegah-megah (dengan kekayaanmu), sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang bermegah-megah. (seperti lagakmu itu). “ ( Al-Qasas : 76 )
Allah SWT telah menyebut perihal Qarun di dalam Kitab-Nya untuk menjadi
cerminiktibar buat penguasa yang memegang tampuk kerajaan. Qarun merupakan umat
di zaman Musa Alaihissalam yang telah dianugerahkan Allah oleh ilmu yang banyak
dan kekayaan luar biasa. Malang sekali, beliau gagal untuk mengawal nafsu
mengumpul harta malah menindas dan memeras kaumnya sendiri sehingga membiarkan
mereka hidup melarat. Beliau mendakwa kekayaannya adalah hasil kemahirannya
sendiri, tetapi sebenarnya ia diperolehi secara zalim dengan memeras dan
merampas hak bangsanya sendiri.
Realiti kisah ini sedikit sebanyak telah menunjukkan bahawa wujudnya kelahiran
Qarun di negara kita, yakni Malaysia. Pemimpin yang dianugerahi pelbagai kuasa
dan harta namun bersikap sombong terhadap nikmat yang diberi. Hidup rakyat
marhaen pula semakin ditindas berikutan kenaikan harga yang melampau oleh pihak
kerajaan. Malah, lebih mengecewakan tatkala rakyat hanya diminta untuk terus
redha dan bersabar atas apa yang terjadi.
Para menteri kabinet beranggapan bahawa kenaikan harga merupakan satu
usaha untuk mengimbangi masalah ekonomi dan deficit yang melanda. Namun mereka
harus sedar bahawa masalah yang terjadi adalah hasil daripada sikap tidak
cermat pihak kerajaan dalam menguruskan perbelanjaan negara lantas menyebabkan
pembaziran yang tidak munasabah. Laporan audit yang dilaporkan sepanjang
pemerintahan kerajaan BN jelas membuktikan bahawa masalah yang timbul adalah
berakar dari kecuaian pengurusan kerajaan itu sendiri. Kesannya, kelemahan pihak
kerajaan ini telah mengheret rakyat dengan bebanan kenaikan harga dan cukai
yang bakal dijalankan tahun depan.
Kos hidup yang semakin tinggi terutama di kawasan Bandar menyebabkan
rakyat sudah tidak mampu untuk bertahan malah dilihat seiring dengan
meningkatnya kes jenayah. Kes curi,rompak dan bunuh yang berlaku tidak boleh
dipandang enteng oleh pihak kerajaan. Boleh jadi, hal ini bersangkut paut akan
rakyat yang tidak mampu untuk membeli barang keperluan asas lantas menyebabkan
mereka bertindak sedemikian sebagai jalan pintas untuk mengatasi desakan hidup.
Maka, kerajaan sama sekali tidak boleh menyalahkan serta menuding jari
kepada jenayah yang sedang berleluasa kerana ia adalah hasil kelemahan kerajaan
memberikan cara hidup yang terbaik kepada rakyat. Subsidi dan pemberian BRIM bukanlah
satu solusi bijak bagi jangka masa panjang. Kemelut ekonomi dan kenaikan harga
ini tetap akan berterusan jika pihak kerajaan sendiri tidak mula membanteras pembaziran
dan salah guna wang yang berlaku dalam Kementerian Kabinet serta Badan-badan
kerajaan.
5 tuntutan syariat Islam
Kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah adalah jalan keluar terbaik untuk
mengatasi segala masalah yang akan terus memberi petunjuk kepada umat manusia
untuk mengecapi keadilan yang mutlak. Kepentingan Syariat Islam yang memelihara
lima asas hidup iaitu, agama, akal, nyawa, harta dan keturunan adalah solusi percuma
yang diberi Allah bagi setiap manusia untuk dihayati serta diaplikasi dari
segenap lapisan masyarakat dan bangsa.
“
Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa
kebenaran, untuk mengesahkan benarnya Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan
sebelumnya dan untuk memelihara serta mengawasinya. Maka jalankanlah hukum di
antara mereka (Ahli Kitab) itu dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah
(kepadamu), dan janganlah engkau mengikut kehendak hawa nafsu mereka (dengan
menyeleweng) dari apa yang telah datang kepadamu dari kebenaran. Bagi tiap-tiap
umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu Syariat dan jalan
ugama (yang wajib diikuti oleh masing-masing). “ (Al-Maidah : 48
)
Keberkesanan aplikasi syariat Islam jelas terpampang di depan mata
apabila negara jiran, Brunei sudah berjaya mengurangkan kadar kes jenayah
berikutan pengumuman bahawa hukuman hudud akan dijalankan, Walhal ketika itu,
hukuman hudud belum dikuatkuasakan lagi. Malah, Allah mencampakkan rezekiNya
yang tidak terduga dengan penemuan enam lombong minyak di sana. Hal ini jelas
ingin memberi klu kepada pihak kerajaan agar tidak berfikir lama untuk
mengambil solusi yang jelas tersedia dalam melahirkan Malaysia kea rah yang
lebih baik serta sentiasa mendapat pengampunan dari Allah Subhanahu Wa Taala.
Ulul Albab pembunuh Taghut
“ Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya. “ ( Al-Baqarah : 269 )
Ulul Albab merupakan golongan manusia
yang telah dipilih Allah dan diberi Ilmu yang selayaknya untuk memakmurkan
bumi. Golongan Ulama, akademik, mahasiswa seharusnya menyedari bahawa mereka
berperanan menjadi neraca penimbang bagi pemerintah. Ulul Albab perlu menjadi
rakyat seperti dalam kisah Qarun yang menegur kesombongan Qarun dalam
menguruskan harta.
Isu kenaikan harga serta kesusahan rakyat
marhaen yang melanda ini harus menjadi fokus utama para ulul albab. Mereka
seharusnya lantang menegur dan memberi solusi kepada para pemerintah supaya
tangkas dalam mengatasi masalah rakyat. Para Ulul Albab tidak boleh bersikap
membodek atau menjaga periuk nasi andai melihat kekurangan pemerintah yang
terang-terangan menindas nasib rakyatnya sendiri. Sikap berdiam diri ini bisa membuatkan rakyat marhaen bertindak
melakukan kerosakan kerana tidak dipandu oleh mereka yang mursyid dalam
mengatur kehidupan.
Justeru itu, saya menyeru kepada para
Ulul Albab untuk menghapuskan segala bentuk kezaliman yang berlaku dengan
menggunakan jalur akademik masing-masing dan bersama-sama merasai kesusahan
rakyat marhaen. Kerana ulul albab juga seorang rakyat. Keluarlah dari kelambu
kesenangan dan lontarkan segala kebijaksaan untuk menyelesaikan masalah rakyat
Dan saya sebagai mahasiswa melihat Gerakan Turun Kos Sara Hidup – TURUN adalah
satu platform yang terbaik untuk menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap apa
yang berlaku.
Tiada apa
yang perlu ditakutkan kerana kita bersama rakyat untuk kemaslahatan bersama.
Moga usaha ini menunjukkan para ulul albab mendekati dan memahami masyarakat
dalam mengatasi masalah yang dihadapi.
Selamat tahun
baru 2014, jumpa di Dataran Merdeka.
*kredit to my editor Siti Hazirah Zaini
No comments:
Post a Comment